Program Transformasi Usahawan Digital

31 May 2015

MDEC Memangkin Transformasi dengan Memperkasakan Komuniti dan Graduan TVET melalui Keusahawanan Secara Digital.

Jeli, Kelantan, 31 May 2015 – Multimedia Development Corporation (MDEC) telah memperkenalkan program eUsahawan dalam usaha membantu meningkatkan peluang pendapatan para graduan institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) melalui keusahawanan digital. Program ini bakal merubah kurikulum TVET dari model keusahawan dan teori konvensional kepada pengkuhususan dalam penjanaan pendapatan melalui platform digital. Perubahan ini diperkenalkan melalui kursus keusahawanan digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta pendekatan pengajaran praktikal yang mampu membuahkan hasil yang cepat.

Program eUsahawan ini secara amnya terbahagi kepada empat (4) peringkat iaitu;

Merekabentuk dan membangunkan modul

Mengenalpasti calon Jurulatih Mahir dan menyediakan latihan oleh pakar eDagang tempatan

Melaksanakan Program Perintis

Pengintegrasian kurikulum

Pihak MDEC telah pun mengenalpasti rakan-rakan strategik dari pihak institusi TVET, badan pengiktirafan professional serta pakar industri eDagang untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan program eUsahawan. Pada peringkat permulaan, program eUsahawan akan dilaksanakan melalui program perintis yang bakal bermula dalam bulan Julai 2015 di institusi-institusi TVET di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan GIATMARA.

Menjelang tahun 2020, program eUsahawan menyasarkan sebanyak 13 buah institusi-institusi TVET berjaya mengintegrasikan kurikulum, seramai 150,000 alumni TVET mempunyai kehadiran perniagaan atas talian dan seramai 50,000 alumni TVET mengalami kenaikan purata pendapatan sebanyak 20%.

Berdasarkan potensi dan nilai yang terkandung dalam program eUsahawan, pihak MDEC juga telah membawa program ini ke peringkat komuniti luar bandar seperti di Jeli, Kelantan. Dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Jeli, MDEC telah menganjurkan Program Transformasi Usahawan Digital di Pusat Dakwah Jeli, Kelantan dan telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Jeli.

Program ini yang bertujuan memberi kesedaran terhadap peluang perniagaan secara digital juga akan terus menganjurkan kursus-kursus pendek untuk memberikan komuniti tempatan kemahiran digital yang diperlukan. Kursus-kursus kemahiran digital ini dianjurkan bersama oleh pihak Kolej Komuniti.

Tema Program di Jeli ini ialah Maghi ‘Nego Caro Baru atau Mari Berniaga Cara Baru dan cara baru yang dimaksudkan adalah berniaga secara dalam talian. Kandungan program telah dimeriahkan lagi dengan perkongsian kejayaan oleh selebriti dan personaliti terkenal yang terdiri dari anak jati Kelantan seperti Fizo Omar (Artis dan usahawan digital), Dato’ Aliff Shukri (Usahawan “Terlajak Laris”) dan Dato’ Yasmin Mahmood (Ketua Eksekutif, MDEC).

Secara keseluruhannya Program eUsahawan dijangka akan memberikan kemahiran digital kepada komuniti dan graduan TVET, membolehkan mereka menjana pendapatan dan secara tidak langsung mengurangkan isu pengangguran. Program seumpama ini merupakan satu lagi inisiatif transformasi digital oleh MDEC yang sejajar dengan visi Digital Malaysia dalam memperkasakan rakyat dan Negara ke arah ekonomi digital.